1. Jabatan
Perhutanan Sabah
Jabatan Perhutanan Sabah
telah mengenalpasti pelbagai strategi untuk menangani isu-isu berkaitan dengan
Pengurusan Hutan Mapan. Strategi-strategi tersebut adalah dari segi
perlaksanaan hutan simpan kekal, pengurusan hutan mapan iaitu pengurusan hutan
mengikut 3 peringkat pengurusan, perlesenan, pengeluaran hutan dan hasil,
penguatkuasaan dan perundangan, perlindungan iaitu terdapatnya beberapa langkah
proaktif dalam perlindungan Hutan Simpan Kekal, pembangunan sumber hutan,
pembangunan industri perkayuan, perdagangan dan pemasaran, peranan
agensi-agensi berkaitan, penyertaan sektor swasta, penyertaan perusahaan
Bumiputera, tenaga kerja dan pembangunan latihan, organisasi bukan kerajaan
(NGO), kerjasama perhutanan antarabangsa, perhutanan masyarakat, penyelidikan
dan pembangunan perhutanan, eko-pelancongan, dan pentadbiran.
Pengurusan
sumber hutan secara mapan dapat dilakukan dengan mengaplikasikan strategi
keempat yang telah dikenalpasti oleh Jabatan Perhutanan Sabah. Strategi keempat
ini ialah strategi yang melibatkan pengeluaran hutan dan hasil. Pengurusan
hutan secara mapan ini dapat dilakukan dengan mempromosikan pengeluaran yang
efisien melalui pengurusan perancangan yang sistematik dan pembangunan sumber
untuk mengurangkan kemusnahan persekitaran hutan. Penggunaan sumber hutan
secara optima dengan menggalakkan penuaian dan pengeluaran balak yang teratur
dan sistematik hendaklah dipastikan. Selain itu, memastikan pendapatan hutan
berasaskan kapasiti pengeluaran sumber hutan agar dapat menyumbangkan kearah
pembangunan sosio-ekonomi mapan juga merupakan satu cara yang terdapat di dalam
strategi ini. Akhir sekali, pungutan royalti yang efisien dan sistematik dan
juga caj-caj lain pada pengeluaran hutan harus dipastikan.
Strategi
seterusnya ialah dengan mengaplikasikan strategi perlesenan iaitu kerajaan
mengeluarkan lesen jangka panjang selaras dengan seksyen 15(1), Enakmen Hutan
1968. Perjanjian ini memerlukan perlesen mengurus Unit Pengurusan Hutan dalam
tempoh 100 tahun berdasarkan beberapa syarat. Salah satu syarat yang dapat
digunakan dalam pengurusan sumber hutan ialah menggunakan kaedah mesra alam
penuaian seperti Pembalakan Impak Rendah (Reduced Impact Logging : RIL) dan
Skyline dan melaksanakan silvikultur dan penanaman mengaya. Selain itu, dalam
strategi ini, penggunaan optima sumber hutan pada Tanah Kerajaan dan Tanah
Bergeran harus dipastikan. Pembaharuan lesen sedia ada untuk pembalakan dalam
Hutan Simpan akan dihentikan secara berperingkat-peringkat dan lesen konsesi
jangka panjang akan dikaji semula dan diselaraskan dengan perlaksanaan
Pengurusan Hutan Mapan.
Pengurusan
sumber hutan secara mapan ini juga dapat dilakukan dengan melaksanakan strategi
ketujuh yang dikenalpasti oleh Jabatan Perhutanan Sabah iaitu pembangunan
sumber hutan. Pembangunan sumber hutan ini menggalakkan pelesen untuk
melaksanakan rehabilitasi hutan dalam kawasan yang telah dibalak seperti yang
diperlukan dalam perjanjian lesen Pengurusan Hutan Mapan. Langkah-langkah
rehabilitasi hutan dalam hutan simpan berproduktiviti rendah ditingkatkan
melalui tanaman mengaya dan rawatan silvikultur yang bersesuaian. Kawasan hutan
miskin dan “degraded”, perladangan
hutan diperkenalkan. Penyertaan yang aktif dalam kalangan sektor swasta
dipromosikan dan insentif yang bersesuaian dalam usaha untuk menggalakkan
pelabur untuk melabur dalam ladang hutan.
Seterusnya,
strategi Jabatan Perhutanan Sabah iaitu pembangunan industri perkayuan dapat
digunakan dalam pengurusan hutan secara mapan. Kekurangan sumber balak
menyebabkan industri perkayuan tidak boleh bergantung kepada bekalan tinggi
balak yang tetap dari hutan seperti masa dahulu. Pembangunan industri harus
menumpukan kepada langkah-langkah penyesuaian iaitu mengubah kapasiti industri
berdasarkan sumber hutan yang sedia ada, meningkatkan pemprosesan yang efisien
untuk mengurangkan bahan buangan, penstrukturan semula industri berdasarkan
kayu integrasi kearah pengeluaran tambah-nilai yang berkualiti eksport, dan
meningkatkan kesedaran alam sekitar dalam kalangan operator kilang kayu dengan
memperkenalkan sijil hijau dalam pembaharuan lesen kilang.
2. Jabatan
Hidupan Liar
Jabatan
Hidupan Liar Sabah juga memainkan peranan dalam pengurusan sumber hutan.
Matlamat Jabatan Hidupan Liar ini ialah melindungi semua spesies hidupan liar
sebagai khazanah negeri Sabah untuk tujuan pemuliharaan, penyelidikan,
rekreasi, pelancongan, latihan dan pendidikan. Misalnya, bunga rafflesia,
periuk kera, pokok rotan, proboscis, orkid selipar, perumah rafflesia dan
lain-lain. Jabatan ini bertanggungjawab menguruskan beberapa kawasan
perlindungan yang berasakan pelancongan iaitu Pusat Pemulihan Orang Utan
Sepilok, gua-gua di Gomantong, Hutan Simpanan Tabin dan Kulamba, Pulau
Mantanani, kawasan perlindungan hidupan liar di Pulau Sipadan dan pengurusan
sarang burung di Sabah. Jabatan Hidupan Liar Sabah dikatakan dapat memainkan
peranan dalam pengurusan sumber hutan kerana berdasarkan objektif jabatan ini,
Jabatan Hidupan Liar Sabah bertujuan untuk mengurus sumber hidupan liar yang
terdapat di Sabah agar fungsi serta kepentingannya dalam pembangunan sosio
ekonomi negeri Sabah dapat diperluaskan.
3. Jabatan
Alam Sekitar Sabah
Jabatan Alam
Sekitar Sabah turut terlibat dalam pengurusan sumber hutan secara mapan. Hal
ini dapat diperhatikan melalui objektif jabatan ini iaitu menerapkan
faktor-faktor alam sekitar ke dalam perancangan dan pelaksanaan aktiviti
pembangunan dan pengeksploitasian sumber semulajadi. Objektif Jabatan Alam
Sekitar Sabah juga mengawal aktiviti pembangunan dan pengeksploitasian
sumber-sumber semulajadi yang menyebabkan pencemaran dan degradasi alam sekitar
atau berpotensi untuk mengakibatkan kesan sampingan yang ketara atas alam
sekitar.
4.
Penguatkuasaan
undang-undang
Salah satu cara dalam
pengurusan hutan secara mapan adalah melalui penguatkuasaan undang-undang yang
telah digubal. Antara perundangan yang harus dikuatkuasakan adalah seperti:
i.
Enakmen
Hutan 1968
Bagi
menguatkuasakan enakmen ini Bahagian Penguatkuasa dan Penyiasatan telah
ditubuhkan pada tahun 2002.Perkara-perkara yang sabit kesalahan boleh
dijatuhkan hukuman sama ada penjara atau denda atau kedua-duanya sekali.
Kesalahan-kesalahan yang boleh dijatuhi hukuman tersebut adalah
seperti,menceroboh kawasan hutan simpan, membina sebarang bentuk binaan dalam
hutan simpan tanpa kebenaran, menumbang pokok tanpa kebenaran dan kelulusan
dalam kawasan yang bukan hak milik, mengeluarkan pokok balak dari satu kawasan
tanpa kebenaran dan kelulusan dari satu kawasan, menyebabkan kebakaran hutan
dan lain-lain perkara yang menjejaskan dan merosakkan hutan. Pada tahun 2006,
sebanyak 228 kes kesalahan hutan yang telah dilaporkan. Di samping itu,
bahagian ini telah merampas peralatan membalak seperti kereta 4WD,skau,bot,lori
balak dan lain-lain. Selain merampas peralatan membalak bahagian ini juga telah
merampas balak dan kayu. Hukuman denda telah diberikan kepada pesalah. Jadual
dibawah menunjukkan kutipan denda kesalahan hutan.
Jadual :
Kutipan denda kesalahan hutan
|
Tahun
|
Jumlah (RM)
|
|
2001
|
1,262,187.77
|
|
2002
|
3,565,838.34
|
|
2003
|
4,517,301.63
|
|
2004
|
1,036,358.08
|
|
2005
|
1,375,123.37
|
|
2006
|
1,655,384.36
|
)
ii.
Ordinan Taman-taman Sabah
Ordinan
ini mengariskan kegiatan-kegiatan yang dilarang semasa berada di dalam taman.
Antara peraturan yang dikuatkuasakan di taman agar pengurusan hutan mapan
berkesan adalah peraturan yang menetapkan bahawa pokok-pokok atau mana-mana bahagian
pokok tidak boleh dipotong dan bunga-bunga tidak boleh dipetik.
5. Peranan
NGO (badan bukan kerajaan)
Di samping peranan
kerajaan seperti di Jabatan Perhutanan dan penguatkuasaan undang-undang,
peranan badan-badan bukan kerajaan di Sabah juga penting dalam pengurusan hutan
secara mapan ini. Pihak bukan kerajaan boleh memberikan kerjasama dalam
pengurusan hutan. Sebagai contoh, badan kerajaan Majlis Promosi Minyak Sawit
Malaysia (MPOC) telah berkerjasama
dengan ISP (The Incorpated Society of
Planter) menganjurkan bengkel ‘Biokepelbagaian dan Pemuliharaan di dalam
Ladang’ yang bertempat di Sandakan. Bengkel tesebut adalah bertujuan menyebar
pengetahuan dan memupuk kesedaran terhadap kepentingan pemuliharaan
biokepelbagaian, pengurusan dan mengurangkan konflik antara hidupan liar dan
manusia serta peluang-peluang pemuliharaan hidupan liar dan alam sekitar di
sektor perladangan.
6. Peranan
Masyarakat
Tanah merupakan salah satu
aset penting yang harus dijaga dan diurus secara mapan. Oleh itu, masyarakat
khususnya yang sering menggunakan tanah sebagai penjana ekonomi contohnya
pertanian haruslah menguruskan tanah sebaik-baiknya. Masyarakat kampung
contohnya yang sering menggunakan tanah untuk menjalankan aktiviti pertanian
seperti padi huma, padi sawah, kelapa sawit getah dan lain-lain perlu tahu
untuk menguruskan tanah secara bijak agar tidak merosakkan sifat kimia atau
fizikal semulajadi tanah. Pengetahuan yang diperolehi daripada sekolah atau
pengajian tinggi haruslah diambilkira dan diaplikasikan dalam menguruskan tanah
secara bijak. Pengurusan tanah melibatkan aktiviti menggunakan tanah secara
sistematik tanpa merosakan tanah.
7. Peranan
Institusi Pendidikan
Selain daripada itu, pihak
universiti tempatan haruslah sedar akan kemorosotan pengurusan tanah akibat
daripada kerakusan manusia mengeksploitasikan tanah untuk tujuan ekonomi. Pihak
universiti harus bertindak untuk mengkaji dan menyelidik masalah ini agar dapat
menganalisis kesan-kesan masalah ini berlaku terhadap alam sekitar manusia dan
fizikal. Hasil kajian ini nanti mampu memberikan idea bagaimana untuk
menguruskan tanah secara mapan dan juga membuka mata para pemaju tanah tentang
kesan-kesan yang bakal dihadapi sekiranya tanah tidak diurus secara bijak.
Di samping
itu, pada peringkat yang lebih rendah seperti sekolah menengah dan sekolah
rendah, kesedaran tentang kepentingan tanah kepada kehidupan manusia haruslah
dipupuk secara berterusan. Ini dapat membantu para pelajar memahami lebih awal
sebab perlunya pengurusan tanah. Langkah ini penting terutamanya untuk golongan
pelajar yang tinggal di kawasan kampung atau pedalaman yang mana tanah biasanya
digunakan untuk aktiviti pertanian. Pendidikan awal tentang pegurusan tanah ini
mampu melahirkan generasi yang mampu bertindak secara bijak dalam menguruskan
tanah.
No comments:
Post a Comment